Status Tasik Chini: Pahang hantar laporan kepada UNESCO

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah menghantar semua laporan yang diperlukan kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengekalkan status Tasik Chini sebagai rizab biosfera.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, keputusan mengenai status itu akan diumumkan UNESCO selepas mereka menerima laporan tersebut.

Menurutnya, kerajaan Pahang bersedia melakukan penambahbaikan di Tasik Chini bagi memenuhi kriteria yang diperlukan untuk mengekalkan status terbabit.

“Perkara ini sebenarnya turut melibatkan kerjasama daripada kerajaan Pusat di mana di peringkat kerajaan Pahang, kita telahpun menghantar kesemua laporan yang diperlukan.

“Laporan sudah kita beri dan apa sahaja untuk penambahbaikan juga kita telah lakukan. Jadi apa-apa pun kita akan tunggu keputusan daripada pihak UNESCO sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas majlis pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Kuantan 188 di sini pada Rabu.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan UNESCO diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.

Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas sebuah portal media tempatan pada Ahad lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama UNESCO mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun.

Pada Rabu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar yakin kawasan Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar dapat dipertahan kerana semua penanaman semula dan pemulihan yang berjalan seperti dirancang.