[VIDEO] Pemotong rumput didakwa tipu jadi bomoh libatkan kerugian RM96,000

Tertuduh diiring polis di mahkamah.
Tertuduh diiring polis di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pemotong rumput dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu atas empat pertuduhan menipu menawarkan perkhidmatan tradisional yang tidak wujud terhadap seorang wanita yang mengakibatkan kerugian hampir RM96,000 Mac lalu.

Tertuduh Mohamad Aizat Ahmad, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Salleh dan Majistret Norzaliza Tesmin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah memperdaya seorang wanita berusia 42 tahun dalam urusan mendapatkan perkhidmatan tradisional atau bomoh yang tidak wujud dengan menyatakan kononnya boleh menyembuhkan penyakit misteri dihidapi mangsa yang telah mendorongnya menyerahkan seutas rantai, seutas gelang tangan, sebentuk cincin dan wang tunai RM4,000 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,362.

Mengikut tiga pertuduhan lain, tertuduh telah mendorong mangsa memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM80,550 ke dalam akaun bank atas nama KH Motor Spare Spart dan Zul Fameena Marketing.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Senawang pada 19 Mac 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan denda.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu supaya tertuduh diberi jaminan yang minimum atas alasan dia bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan tidak menentu.

Selain itu katanya, tertuduh juga dalam proses perceraian dan perlu menanggung dua adik.

Mahkamah kemudian menetapkan keseluruhan jaminan RM16,000 dan sebutan semula kes 10 Ogos ini.