Tarif air domestik kekal, bukan domestik dilaraskan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada waktu ini, demikian menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Jun lepas yang bersetuju dengan perkara itu, turut bersetuju dengan pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik serta kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos (2022), melibatkan kenaikan purata sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu.

Ia berikutan persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri itu dengan penggunaan instrumen Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) dalam menyusun semula pengurusan bekalan air negara.

"Kenaikan ini sebenarnya masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.68 bagi setiap meter padu," menurut KASA dalam satu kenyataan pada Selasa.

KASA memaklumkan terdapat beberapa negeri yang kadar tarif tidak pernah disemak untuk tempoh sangat panjang seperti Pahang selama 39 tahun dan Perlis 26 tahun.

TSM yang dibangunkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak 2016 merupakan mekanisme penetapan tarif air yang sistematik, adil dan telus bagi memandu industri perkhidmatan air negara mencapai kemapanan jangka masa panjang.

"Pembangunan, perancangan dan implementasi TSM dilakukan secara inklusif dengan penglibatan secara menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan," jelas KASA.

KASA dalam pada itu memberitahu selaras dengan keprihatinan kerajaan terhadap suasana ekonomi rakyat, operator bekalan air negeri disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.

KASA juga mengajak pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat dengan mengamalkan beberapa langkah seperti menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN. - Bernama