Harga ubat mungkin naik

Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menjawab soalan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menjawab soalan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga ubat-ubatan berkemungkinan mengalami peningkatan akibat kenaikan kos bekalan dan kos bahan mentah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi tersebut disebabkan beberapa perkara yang berlaku di peringkat antarabangsa.

“China adalah negara pengeluar utama bagi bahan aktif farmaseutikal (API). Itu memang tidak didapati di negara lain kecuali negara besar yang mempunyai pasaran besar tetapi apabila China mengamalkan polisi 'total lockdown', telah menganggu rantaian bekalan bagi API.

“Kedua, dalam penghasilan ubat bukan hanya API, tetapi bahan dimasukkan dalam ubat untuk ‘bind’, banyak datang dari negara seperti Rusia dan Ukraine,” katanya sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanyakan strategi kementerian bagi menstabilkan harga bahan mentah ubatan.

Selain itu, Khairy berkata, faktor lain dalam menentukan harga ubat adalah berkaitan paten dan masalah itu sedang ditangani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, masalah yang berlaku apabila syarikat farmaseutikal mengubah suai ubat sedia ada bagi memohon paten disambung bertahun-tahun.

“Sehingga tidak ada ubat-ubatan generik yang boleh dihasilkan dan akhirnya harga ubat itu kekal pada paras tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya perlu melihat kepada sumber alternatif sekiranya berlaku gangguan kepada rantaian bekalan di peringkat global.

“KKM sedang memperincikan pelaksanaan kawalan harga ubat melalui mekanisme ketelusan harga ubat yang kini dalam penyediaan memorandum jemaah menteri untuk kelulusan,” kata beliau.