MTUC terima aduan majikan tidak laksana gaji minimum

Mohd Effendy
Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan terdapat beberapa syarikat yang tidak melaksanakan skim gaji minimun RM1,500 walaupun syarat perlaksanaan sudah jelas ketika ia diwartakan pada 1 Mei lalu.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya masih menerima aduan daripada pekerja yang mempunyai masalah perlaksanaan gaji minimum selain berkaitan elaun tetap.

“Aduan lain yang diterima adalah berkenaan elaun tetap pekerja yang diterima setiap bulan telah dipotong dan dimasukkan ke dalam gaji pokok bulanan bagi memenuhi perlaksanaan gaji minimum tersebut.

“Ini jelas satu pelanggaran hak pekerja yang berlaku dan memerlukan tindakan daripada pihak Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“MTUC juga telah memaklumkan kepada pekerja yang membuat aduan untuk memuat naik aplikasi digital yang diperkenalkan oleh KSM iaitu Working for Workers (WFW),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu Mohd Effendy berkata, MTUC turut menyokong usaha kerajaan membangunkan kumpulan bakat (talent pool) yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi bagi golongan pekerja di Malaysia.

Namun katanya, MTUC terkilan berikutan gaji yang ditawarkan majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan serta kerja yang dilakukan anak tempatan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) memaklumkan berdasarkan statistik MYFutureJob, lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan diseluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan yang mana dibawah paras gaji minima.

“Sehubungan itu, MTUC ingin menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, atas kenyataan beliau yang meminta majikan mengambil serius mengenai perkara ini dan perlaksanaan gaji minimum kerana pekerja adalah tunjang utama dalam mana-mana organisasi di mana mereka boleh 'make or break' sesuatu perniagaan,” katanya.

Mohd Effendy berkata, MTUC turut berharap usaha dan sokongan daripada KSM untuk terus memartabatkan golongan pekerja selain optimis memanfaatkan konsultasi tiga penjuru menerusi platform ‘tripartite’ Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

Habis//