300 penduduk hadir saringan kanser usus

Hiroki (dua dari kiri) dan Dr Najihah (kanan) ketika perasmian penutup Program Saringan Kanser Usus Besar di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas pada Selasa.
Hiroki (dua dari kiri) dan Dr Najihah (kanan) ketika perasmian penutup Program Saringan Kanser Usus Besar di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas pada Selasa.
A
A
A

PASIR MAS - Seramai 300 penduduk di sini mengambil peluang melakukan saringan kanser usus besar atas inisiatif Yakult (Malaysia) Sdn Bhd pada Selasa.

Pengarah Urusannya, Hiroki Yanase berkata, program itu antara usaha Yakult untuk meningkatkan tahap kesihatan kepada penduduk setempat.

Hiroki berkata, sebanyak 300 kit bagi mengesan kanser usus besar (iFOBT) diedarkan kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas bagi tujuan pengesanan awal kanser itu.

"Kami berharap program ini dapat meningkatkan tahap kesedaran penduduk Malaysia mengenai risiko kanser ini selain berkongsi manfaat probiotik Yakult Shirota Strain," katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Saringan Kanser Usus Besar di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas.

Perasmian penutup program dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas dan Klinik Kesihatan Bandar Pasir Mas itu dilakukan Pegawai kesihatan Daerah Pasir Mas, Dr Najihah Mahfuzah Zakria.

Hadir sama, Pegawai Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia, Lim Siew Ling.

Dr Najihah dalam ucapannya berkata, pendidikan awal mengenai kanser penting selain berusaha melalui pengambilan minuman probiotik.

"Kita menggalakkan saringan dan rawatan awal bagi mengurangkan risiko kematian akibat penyakit ini," katanya.

Beliau turut memuji usaha Yakult yang menjadi platform memudahkan pasukan kesihatan menyalurkan maklumat kepada komuniti.

Pada program sama, turut diadakan pemeriksaan kesihatan percuma, pameran kanser usus besar dan ceramah pemakanan sihat.

Orang ramai boleh melayari www.yakult.com.my untuk mengetahui lebih lanjut aktiviti Yakult.