Covid-19: Kes masih terkawal, PKP tak mungkin dilaksanakan

Gambar hiasan. (Gambar dalam : Muhyiddin)
Gambar hiasan. (Gambar dalam : Muhyiddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini dilihat masih dalam keadaan terkawal sekali gus tidak memungkinkan sebarang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun berlaku peningkatan kes, namun ia masih tidak mengganggu usaha Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal keadaan.

Menurutnya, MPN juga yakin dengan kemampuan KKM berdasarkan pengalaman menguruskan pandemik selama dua tahun sebelum ini.

"Saya sudah dengar laporan KKM, MPN berpuas hati bahawa KKM sudahpun bersedia menghadapi apa saja bentuk kemungkinan sekiranya wabak itu (Covid-19) akan bermula semula.

"Mereka (KKM) sudah pun bersedia, pengalaman lebih dua tahun menguruskan Covid-19 memberikan mereka pengajaran, selain langkah yang perlu juga sudah diambil.

"Kita pun harap tidak ada berulang lagilah cerita-cerita dahulu yang menyebabkan kita terpaksa kawal balik sempadan dan laksanakan PKP," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN ke-7 pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, menerusi mesyuarat itu, MPN juga bersetuju dengan saranan KKM bagi

mempertingkatkan survelan dan advokasi mengenai monkeypox termasuk mempertingkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara.

Katanya, bagi pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan kes monkeypox, mereka dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

"Pengembara bukan warganegara yang tiba dari negara terbabit akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan monkeypox dan status kesihatan.

"Selain itu, memberikan nasihat kesihatan kepada pengembara Malaysia ke negara-negara yang terdapat kejadian monkeypox terutamanya di Afrika Tengah dan Afrika Barat,"katanya.