Operasi Gasak Laut roboh bagang haram di Kudat

Hamzah Ahmad
Hamzah Ahmad
A
A
A

KOTA KINABALU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bertindak menghapuskan bagang haram yang semakin bertambah di sekitar perairan Kudat bermula Khamis ini.

Komander ESScom, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pelaksanaan operasi Operasi Gasak Laut (bagang) itu dilakukan secara bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perikanan Sabah.

"Operasi ini bagi merobohkan bagang-bagang yang dibina secara haram di sekitar perairan Kudat.

"Pembinaan bagang-bagang haram semakin bertambah di perairan tersebut dan dibimbangi akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan masyarakat khasnya di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), " katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, pihak penguat kuasa TTS dan Jabatan Perikanan Sabah akan mengeluarkan notis pengosongan dan perobohan terhadap bagang haram ketika operasi dilaksanakan.

"Mana-mana individu atau pihak lain yang mempunyai bagang haram di sepanjang perairan pantai timur Sabah adalah dinasihatkan untuk segera mengosong dan merobohkan struktur berkenaan sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan," katanya.