Bursa Malaysia dibuka rendah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia diniagakan rendah pada awal dagangan pada Selasa di tengah-tengah prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur menjelang laporan pendapatan korporat dan mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kata seorang peniaga.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.42 mata kepada 1,464.80 daripada 1,469.22 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka rendah 2.73 mata kepada 1,466.49.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 148 berbanding 133, manakala 247 kaunter tidak berubah, 1,781 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 237.15 juta unit bernilai RM80.61 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya pada Selasa berkata, bursa tempatan lebih memberangsangkan berbanding bursa-bursa serantau pada Isnin berikutan indeks utama itu mendapat momentum semasa tempoh akhir dagangan untuk ditutup pada paras tertinggi harian berikutan kemasukan dana asing.

"Walaupun sentimen pasaran semakin baik sejak beberapa sesi lepas, kami berpandangan pelabur mungkin kekal berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah oleh Fed dan boleh menarik nafas lega susulan prestasi semalaman Wall Street yang bercampur-campur.

"Mengikut sektor, harga minyak mentah dan minyak sawit mentah diniagakan lebih tinggi, masing-masing pada US$105 dan RM3,700," katanya.

Firma pembrokeran itu menjangkakan aktiviti dagangan akan bergerak dalam sektor seperti saham-saham pengguna dan perbankan berikutan ciri-ciri defensif serta persekitaran kadar faedah yang meningkat.

Selain itu, sektor penjagaan kesihatan mungkin menyaksikan sedikit minat belian selepas Singapura melaporkan kes cacar monyet yang lebih tinggi, katanya.

"Sebaliknya, saham-saham teknologi terpilih mungkin merosot berikutan prestasi di Nasdaq,” menurut Malacca Securities.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing merosot satu sen kepada RM8.79, RM4.61 dan RM8.63, manakala IHH Healthcare dan CIMB Group masing-masing turun dua sen kepada RM6.43 dan RM5.20.

Saham aktif menyaksikan UMediC Group yang baru disenaraikan di pasaran ACE menokok 19.5 sen kepada 51.5 sen, Serba Dinamik dan South Malaysia Industries masing-masing meraih satu sen kepada 9.5 sen dan 37.5 sen, manakala Zen Tech International dan Vinvest Capital tidak berubah pada 5.5 sen dan 18 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 25.53 mata kepada 10,374.36, Indeks FBM Emas Syariah susut 32.81 mata kepada 10,413.43, FBM 70 rendah 11.95 mata kepada 12,377.01, Indeks FBMT 100 berkurangan 25.71 mata kepada 10,134.66 dan FBM ACE menyusut 18.91 mata kepada 4,731.20.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 9.77 mata kepada 6,884.14, Indeks Tenaga menokok 3.65 mata kepada 636.38, manakala Indeks Produk dan Perindustrian Pengguna berkurangan 0.76 mata kepada 176.50 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 16.54 mata kepada 16,493.08. - Bernama