Polis buru suspek samun gerai makan

Tangkap layar video kenderaan Perodua Axia dinaiki suspek dikejar orang awam.
Tangkap layar video kenderaan Perodua Axia dinaiki suspek dikejar orang awam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis giat mengesan suspek samun di sebuah gerai makan di Jalan Arung Tampoi selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kejadian pada kira-kira jam 6.00 petang Khamis lalu itu, telah dirakam oleh orang awam.

"Semasa kejadian mangsa, seorang wanita berusia 18 tahun sedang berseorangan membantu menguruskan gerai makan kerana ibunya sedang berehat.

"Suspek seorang lelaki dipercayai warga tempatan berpura-pura ingin membeli makanan di gerai mangsa namun telah melarikan wang jualan milik mangsa.

"Suspek telah melarikan diri bersama dua lagi rakannya dengan menaiki sebuah kereta Perodua Axia yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Rupiah, ketika kejadian orang awam membantu mangsa dengan mengejar suspek namun tidak berjaya menahannya.

"Akibat kejadian, mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM300. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh salurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122," katanya.