Jenazah Muhammad Iman akan dibawa pulang ke Pasir Gudang

Laporan Sinar Harian. Gambar kanan: Muhammad Aqmar Dzulkarnain dilaporkan hilang sejak 29 Oktober lalu.
Laporan Sinar Harian. Gambar kanan: Muhammad Aqmar Dzulkarnain dilaporkan hilang sejak 29 Oktober lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jenazah Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan Pahang akan dibawa pulang ke Pasir Gudang.

Ibunya, Azmawati Ab Kadir, 55, berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang.

"Jenazah akan dibawa pulang ke Johor hari ini, selepas selesai jenazah dimandikan, dikafan dan disolatkan. Mungkin lepas asar kami akan bertolak.

"Dijangka akan dikebumikan malam ini di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, polis menemukan rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak sembilan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata penemuan MPV di dalam sungai itu disedari seorang pengguna jalan raya (pengadu) ketika berhenti untuk membuang batang besi yang ditemui terjatuh di atas jambatan sungai berkenaan pada jam 11.39 pagi Sabtu.

"Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian depan, kiri dan kanan. Pemeriksaan menemukan mayat dan pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

"Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain," katanya.

Muhammad Iman Aqmar dipercayai hilang ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Air Biru Pasir Gudang untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu, pada 29 Oktober tahun lalu.