Verstappen kukuhkan penguasaan

Verstappen. - Foto Marca.jpg
Verstappen. - Foto Marca.jpg
A
A
A

PEMANDU Red Bull, Max Verstappen mengukuhkan penguasaan pada carta kejuaraan dunia apabila memenangi Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) Perancis di Litar Paul Ricarad, Le Castellet, pada Ahad.

Verstappen yang mengekori rapat pemandu Ferrari Charles Leclerc di sepanjang 10 pusingan pertama sebelum berjaya memintas pemandu Perancis itu yang terbabas pada pusingan ke-18.

Menurut Verstappen, kesemua pemandu termasuk dirinya masing-masing telah memulakan perlumbaan dengan baik.

Bagaimanapun dengan keadaan cuaca panas, menyebabkan ramai pemandu termasuk dirinya perlu menukar tayar bagi meneruskan perlumbaan berkenaan.

“Kami semua bermula dengan baik tetapi dengan keadaan cuaca panas, kami perlu menggantikan tayar sedia ada bagi mengelakkan kemalangan.

“Apa pun, saya gembira dengan kemenangan ini dan berharap agar ia berterusan sehingga ke penghujung musim,” katanya.

Untuk rekod, kejayaan Verstappen itu turut menyaksikan pemandu Belanda itu mencatatkan kemenangan ketujuh dengan sembilan kedudukan podium setakat ini.

Verstappen turut mengukuhkan lagi kedudukan dengan meraih 25 mata dan sekali gus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan dunia ketika ini dengan 233 mata.

Mengulas mengenai perlumbaan berkenaan, Verstappen mengakui berdepan cabaran sengit daripada hampir kesemua pemandu yang disifatkan semakin ‘laju’ pada setiap perlumbaan.

“Kita sememangnya tidak akan tahu bagaimana kesudahan sesuatu perlumbaan, tetapi apa yang pasti setiap jentera kini semakin ‘laju.’

“Oleh itu, sangat penting kepada semua pemandu untuk memberi perhatian kepada tayar jentera masing-masing bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.