104 kosmetik buat takrifan melampaui skop dibatal notifikasi

Dr Noor Azmi
Dr Noor Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 104 kosmetik telah dibatalkan status notifikasi kerana membuat tuntutan perubatan atau tuntutan yang melampaui skop takrifan kosmetik sejak tahun 2021 hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, secara keseluruhan sejumlah 1,775 iklan kosmetik bernotifikasi telah dipantau sepanjang tempoh berkenaan.

“Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa juga menjalankan tindakan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan ke atas premis- premis atau penjual termasuk di media sosial bagi mengekang penjualan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM.

“Syarikat atau individu yang didapati memiliki atau menjual kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang memintanya menyatakan apakah tindakan pemantauan telah dibuat bagi menangani doktor media sosial yang berleluasa melariskan jualan kosmetik hingga menyebabkan kesan sampingan kepada para pengguna.

Tambahnya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga telah meningkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melibatkan pengiklanan dan penjualan kosmetik secara dalam talian.

Sejak tahun 2020 katanya, pihak syarikat pengendali platform telah diarahkan untuk menyekat sebarang kosmetik tidak bernotifikasi.

“Sebanyak 714 iklan kosmetik tidak bernotifikasi telah diarahkan untuk diturunkan di platform e-dagang dalam negara sejak tahun 2021 sehingga Jun 2022.

“Sejak tahun 2021 sehingga Jun 2022, sebanyak 1,326 bilangan pautan di sosial media dan platform e-dagang luar negara berkaitan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi telah dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan dan sebanyak 100 laman sesawang telah dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sekatan,” katanya.