4 banduan termasuk bekas ahli parlimen parti Suu Kyi dihukum mati

 Junta tentera laksana hukuman mati yang pertama ke atas empat banduan di Myanmar dalam tempoh beberapa dekad. - Foto AFP
Junta tentera laksana hukuman mati yang pertama ke atas empat banduan di Myanmar dalam tempoh beberapa dekad. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Junta tentera Myanmar menghukum mati empat banduan termasuk seorang bekas ahli parlimen dari parti pimpinan Aung San Suu Kyi, kata media kerajaan pada Isnin.

Ia merupakan hukuman mati pertama dilaksanakan di negara itu dalam tempoh beberapa dekad.

Keempat-empat mereka termasuk seorang aktivis demokrasi terkemuka telah dihukum mati kerana mengetuai tindakan keganasan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan, kata akhbar Global New Light of Myanmar.

Tokoh demokrasi negara itu, Kyaw Min Yu dan bekas ahli parlimen yang juga artis hip-hop, Phyo Zeya Thaw, dikatakan adalah antara yang dijatuhi hukuman mati tersebut, lapor akhbar Global New Light of Myanmar.

Zeya Thaw, anggota parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) ditangkap pada November tahun lalu dan dijatuhi hukuman mati pada Januari lepas atas kesalahan di bawah undang-undang antikeganasan.

Min Yu atau lebih dikenali sebagai Jimmy menerima hukuman yang sama daripada tribunal tentera.

Dua lelaki lain turut dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang wanita yang mereka dakwa sebagai pemberi maklumat untuk junta di Yangon.

Suu Kyi telah ditahan sejak Februari tahun lalu oleh tentera yang melakukan rampasan kuasa dan menghadapi banyak pertuduhan di mahkamah junta yang boleh menyaksikan boleh dikenakan hukuman penjara lebih daripada 150 tahun. - Agensi