Demi Malaysia...

Kontinjen Malaysia melaungkan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' di KLIA sebelum menyahut cabaran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Kontinjen Malaysia melaungkan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' di KLIA sebelum menyahut cabaran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
A
A
A

JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong mengakui bakal berdepan cabaran getir apabila buat kali ketiga menggalas cabaran Malaysia di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang menyingkap tirai 28 Julai ini.

Namun begitu atlet berusia 30 tahun dari Sarawak itu tetap percaya mampu memberi saingan sengit di temasya sukan kedua terbesar dunia tersebut sambil menyifatkan cuaca merupakan ‘musuh’ keduanya di bumi England berkenaan.

“Apa yang boleh saya kongsikan persiapan adalah pada tahap terbaik selain kesihatan pun berada dalam keadaan baik.

“Bagi saya selain cabaran atlet negara bertanding, cabaran kedua adalah cuaca di England pada ketika ini.

“Biarpun begitu, saya cuba mengatasinya dengan melalui latihan lebih kurang 10 hari sebelum pertandingan bermula bagi menyesuaikan diri.

“Sebelum ini saya telah pun menjalani latihan intensif, malah kejayaan merah pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu menjadi antara pembakar semangat menjelang temasya ini,” kata Jackie kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Untuk rekod, Jackie adalah dalam kalangan kelompok terbesar kontinjen Malaysia berlepas ke London pada Sabtu bagi menyertai temasya Birmingham 2022.

Ia terdiri daripada lebih 60 atlet dan pegawai melibatkan sukan badminton, skuasy, olahraga, gimnastik artistik, judo, ping pong, powerlifting dan bola keranjang berkerusi roda.

Pada masa sama tambah Jackie lagi, prestasinya masih belum berada pada tahap kemuncak lagi bagi menyingkap cabaran.

“Saya amat teruja untuk Birmingham 2022, cuma masih belum berada dalam keadaan peak lagi, namun percaya keadaan akan menjadi semakin bagus selepas beberapa penambahbaikan menjelang bermula saingan.

“Cabaran untuk meraih pingat di Birmingham 2022 ini sengit sebenarnya kerana atlet Malaysia bersaing dalam kalangan negara yang kuat dalam sukan olahraga.

“Biarpun begitu saya dan rakan lain akan memanfaatkan peluang dengan memberikan aksi terbaik, selebihnya kita serahkan kepada Tuhan,” ujarnya.

Jackie juga berharap Birmingham 2022 bakal mengakhiri penantian tiga tahun untuk memperbaharui rekod peribadi yang juga kebangsaan.

“Sejujurnya sepanjang tiga tahun saya berusaha memperbaharui rekod kebangsaan, namun terhalang disebabkan pelbagai faktor termasuk Covid-19.

“Jadi saya akan manfaatkan sepenuhnya setiap peluang di Birmingham 2022 bagi merealisasikan impian memperbaharui,” kata pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22 meter (m) di Kejohanan Olahraga Malaysia 2019.