Keletihan punca Tok Gajah tewas

Aksi Sri Pahang berdepan Penang FC suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
Aksi Sri Pahang berdepan Penang FC suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur pada Sabtu. - Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

KEKALAHAN 2-5 kepada Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur pada Sabtu, jelas menyaksikan Sri Pahang FC berdepan masalah kecergasan.

Perkara itu ditegaskan pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang turut mengakui para pemain jelas keletihan pada babak kedua hingga menyaksikan pintu gol tuan rumah dibolosi empat gol penghujung perlawanan termasuk masa kecederaan.

“Pemain Sri Pahang FC nampak keletihan dan itu juga punca kita melakukan kesilapan dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya Penang FC.

“Saya percaya para pemain sebenarnya sudah sangat letih sangat dan biarpun masih baru ambil semula team, saya nampak mereka macam kurang 'match fitness' dan benda terbuktilah.

“Apa pun, saya tetap bangga dengan para pemain dan percaya sekiranya aksi seperti di separuh masa pertama, pasukan ini boleh bangkit semula dalam saingan Liga Super,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, Sri Pahang membuka tirai jaringan menerusi Andres Steven Rodriguez pada minit ke-11 diikuti Azwan Aripin (19').

Babak kedua perlawanan, giliran Penang FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan T Saravanan (45’) dan Hilal Alhelwe (85’) sehingga perlawanan diheret ke masa tambahan.

Penang FC terus rancak menambah tiga lagi jaringan gol menerusi Lucas Espindola Da Silva (96’) dan Hilal (99’) diikuti K Thivandran (116’) bagi menoktahkan kemenangan pelawat.

Sementara itu, pengendali Penang FC, Zainal Abidin Hassan menyifatkan jaringan masa kecederaan babak pertama menjadi punca kebangkitan pelawat.

Katanya, para pemain berjaya bangkit menyamakan kedudukan sebelum menambah empat gol lagi babak kedua.

“Alhamdulillah, selepas menjaringkan gol pada penghujung babak pertama, kita bangkit untuk memenangi perlawanan di separuh masa kedua,” katanya.