Pesta padi bakal jadi tarikan pelancongan baharu negara

Kon Yeow (kiri) membanting padi ketika meninjau pameran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang dianjurkan di Kampung Terus, Penanti pada Ahad.
Kon Yeow (kiri) membanting padi ketika meninjau pameran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang dianjurkan di Kampung Terus, Penanti pada Ahad.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang dianjurkan di Kampung Terus, Penanti di sini bakal menjadi tarikan baharu pelancongan negara apabila ia dicadang dimasukkan dalam kalendar pelancongan sekali gus diiktiraf sebagai acara pelancongan kebangsaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penganjuran pesta berkenaan yang memasuki edisi keempat itu berjaya meraih kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya, dengan pelbagai keunikan dan aktiviti yang diadakan menjadikan festival itu amat dinanti-nantikan ramai dan layak dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.

“Seperti yang kita dapat lihat, pesta ini berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung, bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitarnya tetapi juga pelancong luar.

“Bertemakan 'Padiku, Warisanku, Rezekiku' festival ini bukan sahaja mengangkat budaya dan warisan kita malah menjadikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati oleh orang ramai setiap tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 di sini pada Ahad.

Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 itu dianjurkan bersama oleh Pejabat Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sepanjang tiga hari pesta berkenaan diadakan seperti pertandingan arca jerami padi, pertandingan menangkap ikan di tengah bendang, memanah, menunggang kuda dan kereta lembu, pameran dan pertandingan warisan padi.

Kon Yeow (dua dari kiri) mencuba aktiviti memanah pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang dianjurkan di Kampung Terus, Penanti pada Ahad.
Kon Yeow (dua dari kiri) mencuba aktiviti memanah pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang dianjurkan di Kampung Terus, Penanti pada Ahad.

Turut diadakan pertandingan boria, lawan bola dalam bendang, aktiviti riadah, sepak raga, pencak silat, persembahan kebudayaan, larian Sungai Penanti dan banyak lagi.

Sementara itu, Kon Yeow turut mencadangkan supaya pertandingan arca jerami yang menjadi tarikan utama pada penganjuran pesta padi kali ini diangkat ke persada dunia setanding dengan pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa yang lain.

“Arca jerami padi adalah sejenis seni menggunakan jerami padi yang biasanya tidak ada kegunaan selepas padi dituai.

“Apabila jerami padi yang tidak berharga ini boleh digunakan untuk membina arca yang cantik dan dapat menarik kunjungan pelancong, tempat ini sudah tentunya menjadi agropelancongan destinasi yang baharu di negara ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan padu untuk melihat Pesta Padi Antarabangsa dan Pertandingan Arca Jerami Padi ini terus dikenali dan menembusi pentas antarabangsa.

“Kita sangat alu-alukan penganjuran festival sebegini bagi meraikan sejarah, budaya dan warisan para petani sawah yang penting untuk pemeliharaan identiti bangsa Malaysia serta menjadi contoh kepada generasi masa hadapan.

“Kerajaan negeri akan terus melakukan apa yang terdaya terutama dari segi sokongan dan penyediaan peruntukan, infrastruktur asas serta awam untuk kebaikan bersama," katanya.