'Dacing lambang perikatan kerjasama, kestabilan, perpaduan'

Ahmad Zahid menegaskan logo dacing merupakan satu-satunya lambang digunakan parti itu sejak dulu hingga kini. - Foto FB Zahid Hamidi
Ahmad Zahid menegaskan logo dacing merupakan satu-satunya lambang digunakan parti itu sejak dulu hingga kini. - Foto FB Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan logo dacing merupakan satu-satunya lambang digunakan parti itu sejak dulu hingga kini.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, bendera ini juga pernah menjadi panji terhebat memacu kegemilangan negara dengan memayungi kemakmuran dan kesejahteraan segenap kehidupan rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Hari silih berganti simbol BN terus terpahat dalam politik jasa dan budi.

“Neraca ini akan kekal berpaksi pada asas paling kukuh untuk rakyat demi rakyat.

“Lalu menjadi harapan sebenar rakyat apabila tiba masanya nanti. Insya-ALLAH,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambahnya, logo yang digunakan BN itu juga menjadi lambang sebuah perikatan kerjasama, kestabilan serta perpaduan yang luhur.

Pada Jumaat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, partinya pada dasar bersetuju untuk menggunakan logo baharu yang bakal diperkenalkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurut Abdul Hadi, perkembangan lanjut tentang logo baharu tersebut akan dibincangkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).