Kajian varieti padi baharu tingkat pengeluaran beras

Nagulendran (kiri) dan Abdul Rahim (dua dari kiri) membuat persediaan memasukkan benih padi untuk ditaburkan menggunakan dron selepas Majlis Simbolik Penyerahan Benih Padi IS21 Kepada Pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan Machang di Kampung Bukit Tiu pada Ahad.
Nagulendran (kiri) dan Abdul Rahim (dua dari kiri) membuat persediaan memasukkan benih padi untuk ditaburkan menggunakan dron selepas Majlis Simbolik Penyerahan Benih Padi IS21 Kepada Pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan Machang di Kampung Bukit Tiu pada Ahad.
A
A
A

MACHANG - Agensi Nuklear Malaysia bakal memperkenalkan satu lagi varieti padi berkualiti bagi meningkatkan pengeluaran beras negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr K Nagulendran berkata, percubaan penamanan varieti baka baharu NMR151 akan dimulakan di Pasir Puteh selewat-selewatnya awal tahun depan.

Menurutnya, kajian dilakukan bagi menguji ketahanan terhadap keadaan tanah dan kemasukan air masin bagi mengelakkan rentan terhadap kualiti padi.

"Kajian awal membabitkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar sebagai ujian mengenal pasti tahap kualitinya.

"Jika percubaan ini berjaya dengan keadaan air yang dikatakan masin kelat, kita akan perluaskan baka padi ini ke negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Benih Padi IS21 Kepada Pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan Machang di Kampung Bukit Tiu, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Abdul Rahim Harun dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Lembaga Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim.

Nagulendran ketika berucap merasmikan program berkenaan berkata, produktiviti padi negara pada masa ini masih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

Tambah beliau, ancaman perubahan iklim dunia dan penyakit tanaman baharu mengakibatkan padi pengeluaran padi terjejas.

"Bagi menangani masalah ini, teknologi pembaikbakaan, penanaman dan pengeluaran tanaman perlu lebih efisien untuk menghasilkan tanaman berkualiti," katanya.

Menurut Nagulendran, selain Agensi Nuklear Malaysia, MOSTI turut bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi merealisasikan baka padi baharu yang lebih berkualiti.