Jaringan Bergson julang JDT

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson Gustavo Silveira Da Silva meraikan jaringan golnya pada miniit akhir asa kecederaan pada Perlawanan Bola Sepak Piala FA peringkat suku akhir di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, hari ini. - Foto Bernama
Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson Gustavo Silveira Da Silva meraikan jaringan golnya pada miniit akhir asa kecederaan pada Perlawanan Bola Sepak Piala FA peringkat suku akhir di Stadium Hang Jebat dekat Krubong, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERGSON da Silva muncul wira bagi membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka United 2-1 dalam aksi suku akhir di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Bintang import Harimau Selatan itu memastikan kemenangan milik mereka apabila menanduk masuk bola ke gawang Melaka United hasil hantaran Nazmi Faiz pada masa kecederaan.

Sebelum itu, JDT terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Hazwan Bakri seawal minit keempat berpunca daripada hantaran lintang Leandro Velazquez dari sebelah kiri gawang Melaka United.

Jaringan itu ternyata menambah semangat JDT untuk memburu gol kedua, sebaliknya Melaka United tampak lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.

Melaka United yang tertekan diasak Harimau Selatan sejak awal permainan hanya mampu mencipta percubaan menerusi Sony Norde pada ke-27, namun rembatannya tinggi melepasi palang gol JDT.

Corak permainan pantas JDT nyata memberi impak kepada rentak Melaka United yang sesekali dilihat cuba bangkit mengawal tempo permainan.

Sebaik babak kedua bersambung, JDT terus 'menekan' tuan rumah menerusi beberapa percubaan berbahaya daripada Leandro, Fernando Forestieri dan Hazwan.

Ketika JDT 'ligat' mengasak kubu Melaka United, tuan rumah berjaya mencipta jaringan penyamaan menerusi sepakan penalti Sony Norde pada minit ke-84.

Empat minit kemudian, penyerang kelahiran Haiti itu hampir meletakkan Melaka United di depan, namun tolakannya diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Tambahan masa kecederaan menjadi tuah buat JDT apabila Bergson merobek gawang Melaka United, sekali gus memastikan JDT mara ke separuh akhir dengan kemenangan 2-1.