Bersatu tak terjejas Ahli Parlimen Segamat keluar parti

Hamzah (berdiri) ketika Sesi Town Hall sempena Program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka, Batu Kurau, di sini pada Sabtu.
Hamzah (berdiri) ketika Sesi Town Hall sempena Program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka, Batu Kurau, di sini pada Sabtu.
A
A
A

LARUT - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terjejas dengan tindakan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang dilaporkan keluar parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, masa depan parti tidak ditentukan oleh mana-mana ahli Parlimen.

Menurutnya, perjuangan yang dibawa oleh ahli parti lebih penting untuk menentukan hala tuju parti.

"Ahli Parlimen kadang-kadang dia hanya mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja manakala ahli-ahli yang menentukan perjuangan parti, ideologi parti. Segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama bangsa dan negara.

"Tak menjadi sesuatu yang boleh menyebabkan parti itu lemah semata-mata atas sikap seorang individu yang mungkin hanya memperjuang untuk dirinya," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Sesi Town Hall sempena Program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka, Batu Kurau, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan bahawa Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya yang juga ketua sayap bukan bumiputera Bersatu itu keluar Bersatu.

Menerusi laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, tindakan itu diambil selepas Santhara melihat tiada masa depan untuk ahli Parlimen bukan bumiputera dalam Bersatu.

Ditanya mengenai penggunaan logo bagi Perikatan Nasional (PN), Hamzah berkata, beberapa syarikat sudah dilantik untuk mereka bentuk logo berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PN menjelaskan, pemilihan logo tersebut akan dimuktamadkan di dalam mesyuarat pimpinan akan datang.