[VIDEO] 5,000 hadiri 'bekwoh' bersama PM di Ketereh

A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 5,000 penduduk Parlimen Ketereh hadir memeriahkan 'bekwoh' bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat di sini, pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, tiga ekor lembu disembelih untuk dijamu kepada rakyat menerusi menu tradisi Kelantan iaitu gulai kawah.

Sebanyak 11 kawah gulai dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung di sekitar Parlimen Ketereh.

Menariknya, hidangan itu turut dinikmati oleh Ismail Sabri bersama-sama pemimpin negeri.

Seorang penduduk, Ishak Din, 47, mengakui cukup teruja dapat hadir ke majlis yang disifatkan cukup meriah.

"Kedatangan saya di sini bukan untuk makan sebenarnya, tetapi lebih kepada untuk melihat Perdana Menteri secara lebih dekat.

"Sebelum ini hanya lihat melalui televisyen. Hari ini dapat melihat pemimpin nombor satu negara ini secara dekat," katanya.

Dia berharap program bersama rakyat dapat terus diperbanyakkan selepas ini.

Menurutnya, acara sebegini mampu mendekatkan pemimpin dengan rakyat.

"Secara tidak langsung rakyat dapat membuat aduan berkait satu-satu perkara dengan lebih mudah," katanya.