Identiti lelaki jatuh dari tingkat 17 dikenal pasti

Laporan Sinar Harian pada Isnin lalu. Gambar kecil: Fakhrudin
Laporan Sinar Harian pada Isnin lalu. Gambar kecil: Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Identiti mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan bogel dipercayai terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, di sini, 12 Julai lalu telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin berkata, pihak polis telah meminta bantuan daripada pihak kedutaan berkaitan untuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa berusia lingkungan 40-an itu.

"Buat masa ini kita dalam proses mendapatkan pengesahan asid deoxyribonucleic (DNA).

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan dalam proses untuk mengenal pasti sama ada mangsa mati dibunuh ataupun ada unsur-unsur lain menyebabkan kematian," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Fakhrudin berkata, dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang ditahan masih direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana disyaki membunuh.

"Kami dalam proses melengkapkan siasatan dan sejurus selesai akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pada 18 Julai, Sinar Harian melaporkan pihak polis mengesahkan mangsa dan kedua-dua suspek berkenalan menerusi aplikasi media sosial untuk golongan gay.

Polis dalam kenyataan berkata, mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian yang juga merupakan rumah suspek.

Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya dijumpai oleh pengawal keselamatan kondominium berkenaan dalam keadaan bogel.