Usaha banteras jenayah terancang perlu disokong semua pihak

Kenyataan bersama MCCC dan MHO pada Khamis
Kenyataan bersama MCCC dan MHO pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mencegah dan membanteras kegiatan kumpulan jenayah terancang perlu disokong oleh semua pihak bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan rakyat Malaysia terus dikekalkan.

Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam kenyataan bersama menyatakan penghargaan kepada semua ahli Parlimen yang menyokong usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Melalui usul yang diluluskan pada 20hb Julai 2022 tersebut, Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 akan terus berkuatkuasa bagi tempoh 5 tahun lagi mulai 31hb Julai 2022. Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 adalah penting bagi membantu pihak polis.

“Ia untuk menjalankan siasatan di dalam tempoh masa yang secukupnya apabila sesuatu siasatan itu adalah melibatkan kes-kes kesalahan keselamatan seperti kumpulan jenayah terancang atau kumpulan yang mengancam keganasan,” kata kenyataan bersama tersebut pada Khamis.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Pada Rabu, Dewan Rakyat telah meluluskan usul pembatalan keputusan Majlis Mesyuarat pada 23 Mac lalu berhubung Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Ia adalah supaya Subseksyen 4(5) hendaklah terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai dari 31 Julai ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan berkenaan, kes-kes kesalahan keselamatan ini adalah sememangnya rumit dan kompleks untuk diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Dengan tempoh masa yang secukupnya, pihak polis boleh mengumpul bahan bukti yang kukuh untuk proses pendakwaan dan juga menjejak rakan-rakan jenayah yang lain yang masih bebas di khalayak ramai.

“Oleh yang demikian, kami di pihak MCCC dan MHO dengan ini menyatakan penghargaan kami kepada semua 105 Ahli Parlimen yang menyokong usul pada 20hb Julai 2022 tersebut,” ujarnya.