Serbu kem penunjuk perasaan, pentadbiran baharu Sri Lanka dikritik

Ranil Wickremesinghe. - AFP
Ranil Wickremesinghe. - AFP
A
A
A

NEW DELHI - Pentadbiran baharu Sri Lanka berdepan kritikan hebat susulan serbuan yang dijalankan di sebuah kem yang menjadi pusat utama menempatkan penunjuk perasaan antikerajaan.

Pada Jumat polis dan pasukan keselamatan bertindak menyerbu kem Galle Face yang terletak di Colombo itu. Kem berkenaan telah menjadi pusat penunjuk perasaan antikerajaan sejak April lalu.

Tindakan berkenaan dibuat selepas Presiden Ranil Wickremesinghe yang mengangkat sumpah jawatan pada semalam (Khamis) mahu mengawal keadaan negara yang sedang dilanda kemelut ekonomi dan politik.

Pada Jumaat, beliau melantik rakan sekolah dan ahli Parlimen kanan Dinesh Gunawardena sebagai perdana menteri.

Bantahan awam yang berlarutan selama berbulan-bulan telah memaksa keluarga Rajapaksa berundur kerana dikatakan menjadi punca utama kepada krisis yang berlaku dan penunjuk perasaan turut tidak berpuas hati dengan Wickremesinghe.

"Menggunakan tentera untuk menyekat protes awam pada hari pertama memegang jawatan presiden satu perbuatan yang keji dan akan membawa kesan buruk terhadap kestabilan sosial, ekonomi dan politik negara kita," menurut kenyataan Persatuan Peguam Sri Lanka (BASL).

Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Sri Lanka Julie Chung berkata, pihaknya sangat prihatin terhadap tindakan yang diambil terhadap penunjuk perasaan di kem itu.

"Kami menggesa pihak berkuasa bertenang dan mereka yang cedera perlu segera diberikan rawatan," katanya.

Sri Lanka sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan bantuan dana asing bagi mengatasi krisis kewangan terburuk sejak negara ini mencapai kemerdekaan pada 1948.

Pada Jun inflasi meningkat hampir 60 peratus berbanding kira-kira 45 peratus pada Mei, menurut Bank Pusat Sri Lanka (CBSL) pada Khamis. - Bernama