30,000 peluang kerja menanti Keluarga Malaysia

A
A
A

SHAH ALAM - Prihatin dengan isu pengangguran dalam kalangan rakyat di negara ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bermula Sabtu sehingga 27 Julai ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sebanyak 30,000 kekosongan jawatan daripada pelbagai kategori dan sektor pekerjaan termasuk profesional dan pengurusan ditawarkan pada ekspo yang akan berlangsung selama lima hari itu.

Ujarnya, ekspo itu juga menjadi karnival pekerjaan terbesar dan julung kali diadakan pada tahun ini, sekali gus mencapai sasaran kerajaan untuk mencipta 600,000 peluang pekerjaan melalui ‘Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia’ di bawah Bajet 2022.

"Berkonsepkan ‘One Stop Employment Solution’, ekspo ini bermatlamat menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan di seluruh negara oleh para majikan di bawah satu bumbung.

"Selain inisiatif padanan dan penempatan pekerjaan, ekspo kerjaya ini turut akan diisi dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik kepada pencari kerja dan pengunjung yang hadir.

"Antaranya ialah kaunseling kerjaya, bantuan penyediaan resume, pertandingan e-Sport, debat Institut Pengajian Tinggi (IPT), ceramah kebolehpasaran pekerjaan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Perkeso menyeru semua rakyat Malaysia khususnya yang sedang mencari pekerjaan atau ingin meneroka peluang pekerjaan baharu untuk mengunjungi Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang akan diadakan.

Tambahnya, bersempena dengan ekspo kerjaya ini juga, satu program career exploration dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dianjurkan khas untuk pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah bagi membantu mereka mengenal pasti bidang kerjaya dan potensi pekerjaan yang bersesuaian dengan minat mereka.

"Pengunjung yang hadir turut berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan dan saringan kesihatan secara percuma dan menikmati tawaran diskaun istimewa bagi saman di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.