Pas setuju guna logo baharu PN

Abdul Hadi (tengah) selepas selesai menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di Marang pada Jumaat.
Abdul Hadi (tengah) selepas selesai menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di Marang pada Jumaat.
A
A
A

MARANG - Pas pada dasarnya bersetuju untuk menggunakan logo baharu yang bakal diperkenalkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan lanjut tentang logo baharu tersebut akan dibincangkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Yer, kita akan bincang dalam mesyuarat terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Pas bersetuju menggunakan logo PN baharu selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

PN sebelum ini dilaporkan akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada PRU15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan terdapat cadangan untuk mengubah suai logo sedia ada semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu,

Menurutnya, logo sedia ada sudah baik tetapi pihaknya akan membuat penambahbaikan dan ada simbol-simbol yang digunakan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi bagaimanapun berkata, Pas akan terus bersama dan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) walaupun parti itu berhasrat menggunakan logo baharu PN.

"Pas membawa agenda perpaduan ummah, tidak berganjak. Masalah logo itu akan dibincangkan kemudian," katanya.

Jelas Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, Pas sentiasa mengadakan perbincangan mengenai persediaan menghadapi PRU15 bersama rakan-rakan gabungan parti itu.

"(Rundingan) dibincangkan dari masa ke masa dan PRU pula tidak tahu lagi bila akan diadakan," katanya.