Inflasi Malaysia pada Jun meningkat 3.4 peratus

Indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut. - Foto hiasan
Indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan tersebut.

"Semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan kenaikan dan mendorong inflasi keseluruhan kepada 3.4 peratus.

"Pengangkutan meningkat 5.4 peratus diikuti restoran dan hotel (5.0 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.2 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, semua subkumpulan bagi makanan dan minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus.

Dalam pada itu, komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing naik 6.1 peratus dan 6.6 peratus yang mendorong kenaikan inflasi makanan, katanya.

Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (+10.5 peratus), nasi berlauk (+9.7 peratus), masakan daging (+7.8 peratus) dan makanan berasaskan mi (+7.0 peratus).

"Ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1 peratus) meningkat 17.2 peratus berbanding peningkatan 13.4 peratus pada Mei 2022.

"Purata harga ayam mentah pada Jun 2022 menokok kepada RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada Jun 2021,” katanya sambil menambah bahawa peningkatan tersebut adalah selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung, gandum dan kacang soya -- komposisi terbesar penyediaan dedak ayam.

Inflasi meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 126.6 bagi suku kedua 2022 dan menokok 2.5 peratus tahun ke tahun pada enam bulan pertama 2022.

Mohd Uzir menjelaskan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya pada 8.1 peratus, manakala Labuan dan Melaka merupakan dua negeri yang merekodkan peningkatan paling rendah, masing-masing sebanyak 2.5 peratus. - Bernama