755 pengakap tingkat patriotisme melalui filem Mat Kilau

Ahli pengakap teruja dapat menonton filem Mat Kilau yang diadakan selama dua hari sejak Selasa lalu.
Ahli pengakap teruja dapat menonton filem Mat Kilau yang diadakan selama dua hari sejak Selasa lalu.
A
A
A

KEMAMAN – Seramai 755 pemimpin pengakap, pengakap kanak-kanak (PKK), pengakap Muda (PM), pengakap remaja (PR) dan pengakap Khas (PKhas) di daerah ini teruja apabila berpeluang menonton filem Mat Kilau, Kebangkitan Pahlawan.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, program anjuran Majlis Pengakap Daerah Kemaman dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman itu diadakan selama dua hari iaitu Selasa dan Rabu.

Menurutnya, aktiviti seumpama itu penting bagi menghargai sejarah perjuangan tokoh pahlawan Melayu menentang penjajah British dan ia diharap dapat menanam rasa cinta kepada negara dalam kalangan ahli pengakap.

“Menonton filem Mat Kilau dapat membangkitkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara serta membina semangat dan kesedaran yang mampu membuka minda ke arah perpaduan dan patriotisme,” katanya di sini pada Jumaat.

Idris berkata, banyak manfaat diperoleh ahli pengakap melalui filem Mat Kilau termasuk membuang sifat dendam dan dengki sesama sendiri yang hanya akan membawa kerugian selain tanggungjawab seorang ketua dalam membuat keputusan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pemimpin dan ahli Majlis Pengakap Daerah Kemaman dapat menghayati semangat kenegaraan melalui filem tersebut apatah lagi dalam suasana negara bakal menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Filem ini berjaya menyampaikan banyak mesej kepada kita termasuk betapa hebatnya ilmu silat untuk pertahanan diri daripada musuh.

“Oleh itu, kita berharap penerbit negara ini dapat menghasilkan lebih banyak filem yang mengangkat sejarah kepahlawanan Melayu dalam sejarah negara untuk tontonan generasi baharu sekali gus meningkatkan semangat patriotisme,” katanya.