Malaysia, Thailand wujud 'strong village' tingkat keselamatan sempadan

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Malaysia dan Thailand akan mewujudkan 'strong village' di sepanjang sempadan bertujuan untuk memperkukuh kerjasama keselamatan sempadan selain meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.

Panglima Tentera Darat Jeneral, Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, cadangan itu dikemukakan Panglima Tentera Diraja Thailand, Jeneral Narongpan Jittkaewtae dalam satu pertemuan yang diadakan di Bangkok.

Beliau berkata, 'strong village' adalah usaha kedua-dua Tentera Darat Malaysia dan Thailand dalam membantu penduduk setempat di kamupung-kampung yang terpilih di sepanjang sempadan untuk membantu membangunkan dan memajukan sosioekonomi mereka.

Selain itu, beliau berkata, melalui program itu penduduk setempat akan berinteraksi sesama mereka secara terkoordinasi dalam aktiviti sosial dan bertukar kunjungan dan secara tidak langsung program ini akan mengeratkan lagi hubungan masyarakat setempat dan hubungan baik dua hala kedua-dua negara.

"Program itu juga dapat menambah keyakinan dan mengurangkan prasangka dalam menangani isu-isu keselamatan di sepanjang sempadan.

"Saya berpendapat program itu akan mula dilaksanakan pada Januari tahun depan,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata, cadangan pelaksanaan 'strong village' akan dibentangkan kepada Menteri Pertahanan kedua-dua negara dalam masa terdekat.

Selain itu, Zamrose berkata, pertemuan dengan rakan sejawatannya itu turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala yang melibatkan operasi dan latihan ketenteraan.

Zamrose kini dalam lawatan kerja selama lima hari ke Thailand bermula Rabu hingga 24 Julai yang bertujuan memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Thailand.

Ia adalah lawatan timbal balas atas undangan Narongpan yang mengadakan lawatan ke Malaysia pada bulan lepas.

Zamrose berkata, beliau turut memaklumkan kepada pihak Thailand bahawa Malaysia akan mewujudkan dua lagi pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Batu 34 dan Batu 36 di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam usaha memastikan keselamatan negara terjamin dan mengelak kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Pihak Thailand telah mengambil maklum dan setuju. Malahan pihak Thailand juga akan membina dua pos sebagai sokongan dan kerjasama yang diusahakan,” katanya.

Kini, terdapat enam pos kawalan di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu, Zamrose turut menerima Highest Achievement Award dari Institut Pengajian Pertahanan Kebangsaan.

Beliau yang melanjutkan pengajian di Kolej Pertahanan Nasional pada 2008 melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah tertinggi itu.

Selain itu, beliau merupakan pelajar luar negara pertama yang menyandang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan.

Anugerah itu disampaikan Commanding General institut itu, Jeneral Siravuth Wongkantee dalam satu majlis hari ini.

Sempena lawatan rasmi kali ini, Zamrose turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Angkatan Tentera Jeneral Chalermpol Srisawat, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Thailand Jeneral Warakiat Rattananont dan Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Sementara itu, timbalan jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Kolonel Jittanat Punnothok berkata ketika pertemuan antara Zamrose dan Warakiat kedua-duanya turut membincangkan usaha mengukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand.

"Malaysia dan Thailand sentiasa menjalin kerjasama ketenteraan yang baik. Malaysia sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada Thailand,” kata Warakiat. - Bernama