Masih ada polis terlibat dadah walaupun pernah ditangkap

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Masih terdapat anggota polis yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah meskipun pernah ditangkap atas kesalahan sama sebelum ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perkara itu dikesan berlaku termasuk membabitkan kes yang telah dituduh di mahkamah.

Menurutnya, dalam kes terbaru terdapat beberapa anggota gagal dalam ujian awal saringan air kencing yang dilakukan secara mengejut ketika latihan dalam perkhidmatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pada Rabu.

"Semalam (Rabu) kita dah buat ujian dan didapati ada antara mereka gagal, jadi mereka ini telah ditahan.

"Ada antara mereka ini telah dituduh di mahkamah (sebelum ini), tetapi mahkamah telah bebaskan mereka.

"Jadi kali ini kita ambil tindakan sekali lagi ke atas mereka, kita yakin mereka ini masih lagi terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Awie Tour) 2022 Polis Kontinjen Perak di AEON Kinta City di sini pada Khamis.

Mior Faridalathrash bersama Awie menyempurnakan gimik perasmian bersama Perak Transit Berhad yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Cheong Peak Sooi (kiri).
Mior Faridalathrash bersama Awie menyempurnakan gimik perasmian bersama Perak Transit Berhad yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Cheong Peak Sooi (kiri).

Hadir sama, lagenda rock negara, Datuk Awie dan Timbalan Pengarah (Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali.

Mior Faridalathrash berkata, mereka yang ditahan itu akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 (Kelakuan dan Tatatertib).

Katanya, ketegasan dalam tindakan dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah tidak kira melibatkan pegawai mahupun anggota polis.

"Tetapi ini baru saringan awal, kita akan hantar sampel untuk ujian patalogi dan sekiranya mereka masih disahkan positif dadah, maka kita cadang tuduh di mahkamah," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kes-kes melibatkan jenayah penipuan dalam talian di negeri ini mencatatkan kes lebih tinggi berbanding lain-lain jenayah komersial.

Katanya, sebanyak 1,919 kes jenayah komersial telah direkodkan pada 2020 dan jumlah itu meningkat 5.3 peratus pada 2021 kepada 2,021 kes.

"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,094 kes jenayah komersial dicatatkan.

"Melalui kempen anti-scam ini kita harap dapat memberi pendedahan meluas kepada masyarakat kerana scammer sekarang tidak macam dulu. Dulu orang menipu secara bersemuka, tetapi sekarang kita tidak kenal siapa yang menipu kita.

"Jadi nasihat saya agar setiap daripada kita berhati-hati dalam semua urusan supaya tidak menjadi mangsa penipuan dan sebagainya," katanya.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman bersama 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah kempen kesedaran anti-scam ke seluruh Semenanjung yang berlangsung dalam tiga fasa.

Fasa pertama bermula 19 Julai sehingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis diikuti fasa kedua bermula pada 25 Julai hingga 28 Julai pula di Kelantan, Terengganu dan Pahang; fasa ketiga di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada 1 Ogos dan 2 Ogos.