Speaker DUN Sabah kekal tolak usul bahas tuntutan waris Sulu

Sidang DUN Sabah
Sidang DUN Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Speaker Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya kekal menolak permohonan usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung isu ancaman keselamatan susulan tuntutan waris kesultanan Sulu.

Permohonan untuk usul itu dibahaskan dihantar sekali lagi oleh Mohd Shafie pada Selasa lalu selepas ditolak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Isnin lalu.

Kadzim dalam sidang DUN Sabah pada Khamis berkata, usul itu ditolak mengikut peraturan tetap 23A (2) iaitu mana-mana usul yang ditolak di bawah perenggan satu tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh dibacakan dalam majlis mesyuarat.

"Maka permohonan itu saya tolak dan saya telah sampaikan kepada Yang Berhormat (Mohd Shafie)," katanya.

Sebelum itu, pada Isnin lalu, Mohd Shafie menyatakan kekesalannya apabila usul yang cuba dibawa serentak ke Dewan Rakyat dan DUN Sabah untuk dibentangkan Parti Warisan (Warisan) ditolak di kedua-dua dewan berkenan.

Beliau berkata, asas usul itu ditolak sebelum ini kerana ia dihantar kurang daripada 24 jam sebelum sidang DUN berlangsung dan ia dihantar semula untuk dibentang pada hari seterusnya.