Maqis rampas 10,000kg ketam sejuk beku

Maqis Selangor merampas ketam sejuk beku bernilai RM46,000 di Pelabuhan Klang pada Isnin.
Maqis Selangor merampas ketam sejuk beku bernilai RM46,000 di Pelabuhan Klang pada Isnin.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 10,000 kilogram (kg) ketam sejuk beku dari Indonesia di Pelabuhan Barat di sini pada Isnin lalu.

Maqis Selangor dalam kenyataan berkata, pemeriksaan kira-kira jam 4.10 petang yang dijalankan mendapati kontena yang membawa ketam sejuk beku itu tidak mempunyai sebarang permit import sah yang dikeluarkan oleh Maqis.

"Keseluruhan hasil dagangan yang dirampas kira-kira 10,000 kilogram (kg) dengan nilai RM46,000.

"Maqis telah menyita kontena tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegas Maqis Selangor, pihaknya akan sentiasa memastikan tindakan penguatkuasaaan undang-undang terus diperluaskan di semua pintu masuk negara.

"Ini bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan," ujarnya.