Tiga individu ditahan kemuka invois palsu lebih RM800,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu kerana dipercayai telah mengemukakan invois palsu bernilai lebih RM800,000 kepada pejabat sebuah kementerian pada 2019.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek tersebut ditahan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 10 pagi Rabu, ketika mereka hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan.

"Mereka dipercayai telah mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga November 2019," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

"Kesemua suspek berkenaan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah dalam tempoh terdekat," ujarnya.