'Sabah tidak bayar kajian pindah lapangan terbang'

Hajiji bersama pembantu Menterinya, Abidin dalam sidang DUN Sabah, Kota Kinabalu.
Hajiji bersama pembantu Menterinya, Abidin dalam sidang DUN Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada sebarang bayaran dibuat kepada syarikat yang melakukan kajian rancangan kemungkinan pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Kimanis, Papar.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan, pelantikan dua syarikat termasuk anak syarikat kerajaan negeri iaitu Qhazanah Sabah Bhd (QSB) dengan Syarikat Berjaya Land Berhad (BLB) untuk melaksanakan kajian berkenaan dipersetujui oleh kerajaan negeri.

"Kita bersetuju untuk melantik Kumpulan Berjaya (BLB) kerana yakin syarikat ini mempunyai pengalaman dalam hal seumpama ini, tetapi satu anak syarikat kerajaan negeri perlu terlibat walaupun Qhazanah (QSB) tidak mempunyai pengalaman.

"Untuk makluman, Qhazanah tidak membayar walau satu sen pun untuk membuat kajian berkenaan.

"Jadi Qhazanah atau kerajaan negeri tidak terlibat atau mengeluarkan sebarang kewangan dalam membuat kajian ini," jelasnya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang-Warisan) mengenai pengalaman BLB dan berapa bayaran yang dibuat oleh kerajaan kepada syarikat berkenaan untuk menjalankan kajian itu.

Menjelaskan lanjut, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah yakin BLB mampu menguruskan kajian itu dengan melaksanakan kerjasama dengan konsultan yang berpengalaman berhubung cadangan pembangunan lapangan terbang.

"Untuk makluman, kerajaan tidak membayar apa-apa kepada BLB walaupun mungkin syarikat ini tidak mempunyai pengalaman dalam urusan ini tetapi saya yakin mereka membuat 'engagement' dengan konsultan sama ada dalam negara atau di luar negara yang mempunyai pengalaman cadangan pembangunan lapangan terbang ini," katanya.