'Najib punca ekonomi Malaysia ketinggalan, bukan PH' - Tun M

Najib (kiri), Mahathir (kanan)
Najib (kiri), Mahathir (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah individu yang sebenar menyebabkan ekonomi Malaysia ketinggalan berbanding negara jiran.

Ujar beliau, ia bukan seperti kata Najib yang menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai punca kemerosotan ekonomi negara ketika Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi Perdana Menteri.

“Ya, negara semakin ketinggalan berbanding negara jiran. Betul, tetapi ia disebabkan oleh korupsi kerajaan Najib. Ia disebabkan oleh sejumlah besar wang yang dipinjamnya yang kini telah hilang.

“Ia berikutan projek yang dimulakannya bukan sahaja terlalu mahal tetapi memihak kepada pihak lain dan tidak memberi manfaat kepada negara.

“Dan tentunya kerana kerajaan terpaksa membayar untuk melangsaikan hutang besar yang ditanggung olehnya. Tiada lagi wang untuk membangunkan negara,” jelas beliau dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Najib sebelum ini menyatakan langkah memansuh atau membatalkan projek adalah cara kerajaan PH yang telah terbukti merosakkan serta merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan, Dr Mahathir berkata, kos pelaksanaan projek itu terlalu tinggi.

“Ya, kita perlu membayar RM320 juta kepada Singapura. Itu kerana Najib membuat perjanjian bodoh. Meneruskannya hanya akan mengeringkan duit perbendaharaan dan pada masa kita juga perlu membayar balik wang pinjaman dibuat Najib.

“Dia mencuri berbilion ringgit yang menjejaskan pembangunan Malaysia. Namun dia meletakkan kesalahan kepada PH yang dia jatuhkan melalui pintu belakang,” ujarnya.