[VIDEO] 'Dr Mahathir sudah tidak relevan' - Najib

Najib menyampaikan ucapan pada Konvensyen Barisan Nasional ke 48 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
Najib menyampaikan ucapan pada Konvensyen Barisan Nasional ke 48 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad kini sudah dilihat tidak relevan lagi, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, ini dapat dilihat menerusi kempen bekas Perdana Menteri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini di Ayer Hitam.

“Tempat atuk (Dr Mahathir) kempen di Ayer Hitam pun hilang deposit. Maknanya dia sudah tidak relevan lagi.

“Tapi saya suka dia ratib nama saya sebab rakyat sudah bosan. Rakyat dah meluat. Rakyat nak tahu apa yang kita akan buat untuk rakyat.

“Sebab itulah, apapun yang dia (Dr Mahathir) serang peribadi akhirnya soal penentu pilihan raya (ialah) apa yang kita boleh buat untuk rakyat. Dan dalam hal ini, tidak ada parti yang boleh lawan dan menggantikan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Dalam pada itu, Najib semasa ucapannya turut menyatakan bahawa BN perlu memberitahu rakyat untuk menghukum Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Najib, dirinya terkedu dengan tindakan PH semasa pentadbiran gabungan itu yang menjual aset negara.

“Dia (PH) jual aset. Kita kalau nak kaya, kita kena tambah aset. Bila tambah aset, tambah kekayaan negara. Bila jual aset, generasi akan datang nak makan apa?

“Ini sudah elok (kita) penyedia penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia (iaitu) IHH Healthcare Bhd, tiba-tiba jual kepada Mitsui & Co. Hilang kawalan,” jelasnya.

Selain itu katanya, PN perlu dihukum dalam PRU15 disebabkan tindakan mereka yang menggantung Parlimen semasa mentadbir negara.

“Padahal dia kecut perut. Nak berdebat di Parlimen tak ada majoriti, itu sebenarnya,” katanya.