[VIDEO] Pembangkang bantah lanjut tempoh monopoli Bernas

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang membantah keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi monopoli Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada 10 tahun lagi kerana tindakan itu hanya memberi ‘manfaat’ kepada syarikat pemodal itu bukannya pesawah padi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini dibuktikan apabila pesawah padi hanya memperoleh pendapatan yang sangat rendah sedangkan syarikat berkenaan mengaut keuntungan yang tinggi setiap tahun.

“Ini bertentangan dengan prinsip sekuriti makanan dan jihad makanan (yang diperjuang) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita benarkan monopoli sesuatu syarikat yang untungnya sangat besar.

“Sepatutnya keperluan import itu diagihkan. Saya tidak ada masalah Bernas tolong menguruskan tetapi (perlu) diagihkan kepada persatuan-persatuan peladang atau yang boleh memberi manfaat langsung kepada pesawah padi,” katanya di Pusat Media Parlimen di sini pada Rabu.

Pada Rabu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras dalam negara disifatkan sebagai langkah tepat.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan bekalan beras sentiasa stabil dan terkawal.

Malah katanya, konsesi yang diberikan kepada Bernas itu juga bukan bersifat berat sebelah, sebaliknya syarikat itu diminta memenuhi 10 obligasi yang ditetapkan kerajaan.