Polis siasat setiausaha politik ADUN Teja

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan kerusi roda kepada salah seorang anggota pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di PLPGU di Ipoh.
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kotak makanan dan kerusi roda kepada salah seorang anggota pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di PLPGU di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Polis Perak mengesahkan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng disiasat berhubung satu hantaran klip TikToknya mengenai ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan isu 'minyak masak peket makcik goreng pisang'.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap Jason Yew itu bagaimanapun dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Untuk makluman ada siasatan dijalankan USTJ Bukit Aman dan pegawai berkenaan menggunakan lokasi kita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk rakam percakapan subjek," katanya ringkas kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai hantaran Facebook milik Ahli Parlimen Gopeng, Lee Boon Chye berhubung solidariti bersama Jason Yew daripada Cabang Gopeng yang diminta memberi keterangan di IPD Ipoh pada Selasa.

Berdasarkan hantaran itu, siasatan dijalankan berhubung video tular mengenai ucapan PM di Parlimen yang ditonton lebih 3 juta dengan 30,000 perkongsian di akaun miliknya. Video itu bagaimanapun telah diturunkan.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 33 laporan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dakwaan kecuaian bekas Perdana Menteri itu yang menyebabkan negara berdepan tuntutan berjumlah RM67.5 bilion daripada waris Kesultanan Sulu diterima setakat Selasa.

Katanya, kesemua laporan yang dibuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan diserahkan kepada polis kontinjen Selangor untuk siasatan lanjut.

"Semua laporan polis yang dibuat di Kontinjen Perak ini akan dirujuk kepada laporan asal yang dibuat di Serendah, Selangor.

"Semua laporan adalah berdasarkan isu sama iaitu berkaitan tuntutan oleh waris Kesultanan Sulu dan Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.