KPWKM masih kaji keperluan perkenal cuti haid

Siti Zailah Mohd Yusoff. - Foto Bernama
Siti Zailah Mohd Yusoff. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menjalankan kajian untuk memperkenalkan cuti haid sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40 di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ini kerana belum ada kajian khusus mengenai perkara itu pernah dijalankan di Malaysia sebelum ini.

“Jadi (sekarang ini) kajian sedang dibuat melibatkan lebih 57,000 responden dan dijangka siap pada Oktober. saya harap selepas sahaja selesai kajian, InsyaALLAH akan dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) yang meminta komitmen dan jangkaan masa kajian itu akan diumumkan.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, pengenalan cuti haid juga memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia (KSM),Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan.

Ini kerana katanya, proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan pekerja wanita tetapi juga memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara.

“Buat masa ini, terdapat kemudahan cuti sakit dan cuti rehat sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sama ada di sektor swasta atau sektor awam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai subsidi tuala wanita, beliau berkata, kemiskinan haid secara relatifnya adalah merujuk kepada situasi apabila individu perempuan tidak mendapat akses kepada tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

“KPWKM berpandangan kajian lanjut perlu dilaksanakan berhubung keperluan pemberian subsidi tuala wanita bagi membolehkan Kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu kemiskinan haid yang dialami oleh golongan wanita khususnya di kalangan isi rumah B40 di Malaysia.

“Selain itu, dapatan kajian ini juga membolehkan satu pendekatan yang lebih komprehensif dan bersasar diperkenalkan bagi menangani isu kemiskinan haid tersebut,” katanya.