[VIDEO] Lanjut konsesi Bernas langkah tepat: Ronald

Ronald Kiandee. Foto Bernama
Ronald Kiandee. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai pengimport tunggal beras dalam negara disifatkan sebagai langkah tepat.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu diambil bagi memastikan bekalan beras sentiasa stabil dan terkawal.

“Konsesi yang diberikan kepada Bernas bukan satu konsesi yang berat sebelah, malah Bernas diminta memenuhi 10 obligasi yang saya terangkan semalam (di Dewan Rakyat) antaranya untuk membantu pesawah, membangunkan simpanan stok dan sebagainya.

“Keputusan (untuk lanjutkan tempoh konsesi Bernas) diambil sejak 2020 kepada tempoh 10 tahun dan seperti yang saya katakan semalam (di Dewan Rakyat) ia merupakan satu keputusan tepat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta penjelasannya sebab Bernas diberikan monopoli untuk import beras dalam negara.

Ronald sebelum itu menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memintanya menyatakan cabaran yang dihadapi oleh sektor agromakanan untuk memastikan rantaian bekalan makana negara kekal stabil dan lancar.

Beliau berkata, sektor agromakanan negara berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran di peringkat global mahupun domestik, malah kesannya semakin dirasai sekarang.

Jelasnya, isu penularan pandemik Covid-19, dasar-dasar perlindungan yang diamalkan oleh beberapa buah negara serta konflik geopolitik dunia seperti krisis Rusia-Ukraine telah memberi kesan terhadap rantaian bekalan makanan dunia dan Malaysia tidak terkecuali dari menerima tempiasnya.

“Selain itu, peningkatan inflasi turut memberi kesan terhadap kitaran pengeluaran bahan makanan disebabkan oleh kenaikan harga makanan ternakan dan input pertanian seperti baja dan racun selain kenaikan kos logistik pasca pandemik Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan melalui kementeriannya sentiasa berusaha untuk memperkukuh sekuriti makanan akan terus diperkasa menerusi kerjasama dan kolaborasi strategik semua pihak beraspirasikan ‘Food Security Is A Shared Responsibility’ bagi meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara dan memantapkan rantaian bekalan makanan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.