Korbankan masa remaja demi kejayaaan kini

A
A
A

Harlina tak menyesal kerana tidak dapat merasai keseronokan zaman remaja demi berjaya dalam perniagaan
Harlina tak menyesal kerana tidak dapat merasai keseronokan zaman remaja demi berjaya dalam perniagaan



Usahawan FELDA jana purata pendapatan tahunan RM 1.5 juta

SHAH ALAM – Seorang anak peneroka FELDA Sg. Lui yang merupakan usahawan di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengakui perjalanan dalam membina sesebuah perniagaan tidak mudah dan sering berdepan dengan pelbagai cabaran dari semasa ke semasa.

Harlina Abd. Rahman berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak 1986 lagi ketika berusia 20 tahun.

Ujarnya, meskipun waktu remajanya tidak sama seperti rakan-rakan yang lain, namun pengorbanan serta sokongan daripada ahli keluarganya banyak membantu dia untuk terus berusaha mengembangkan perniagaannya.

“Saya mulakan perniagaan ini masa muda lagi. Ketika itu, saya rasa rakan-rakan seusia semuanya bebas berseronok, tetapi saya korbankan masa itu,” katanya dalam satu temubual bersama wartawan Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Harlina yang mengusahakan kilang pemprosesan beras berkata, sejak dari kecil lagi, dia telah diasuh untuk sentiasa berjimat dan mengawal nafsu daripada membeli barang-barang tidak penting.

Menurutnya, berkat didikan keluarga itu, secara tidak langsung ia membentuk sifat pengurusan kewangan dalam dirinya.

“Saya memang mengajar diri kuat menahan daripada berbelanja terhadap perkara-perkara bukan keperluan.

“Maksudnya, sifat pengurusan kewangan saya itu memang betul-betul terdidik sejak dari zaman sekolah lagi.

“Kalau arwah ayah saya beri duit belanja sekolah, saya kena kira berapa yang perlu dibelanja dan berapa baki yang tinggal. Jadi kalau nak berbelanja itu, saya kena berfikir dua atau tiga kali sama ada patut beli atau tidak,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Harlina, selain daripada minat, desakan daripada arwah ayahnya sendiri itu juga membantu dia untuk mengenali selok-belok perniagaan sedikit demi sedikit.

Harlina mengakui FELDA banyak membantu beliau ketika memulakan perniagaan sehinggalah bisnes berkembang sekarang ini.
Harlina mengakui FELDA banyak membantu beliau ketika memulakan perniagaan sehinggalah bisnes berkembang sekarang ini.



Jelasnya, faktor-faktor tersebut memberi keberanian untuk dia memajukan perniagaan bukan sahaja dalam bidang peruncitan malah pada bidang pemborongan beras.

“Pada tahun 1986 itu, ia merupakan permulaan untuk menimba pengalaman meniaga, bagaimana berurusan dengan pelanggan, cara menguruskan barang dan bagaimana nak kawal harga.

“Maknanya dari segi pergaulan dengan pelanggan, kita nak tahu macam mana ragam orang serta kesesuaian kita dalam melayan pelanggan.

“Masa itulah proses saya belajar itu makan masa selama tujuh tahun dengan arwah ayah saya di FELDA Sg. Lui,” jelasnya.

Sementara itu, ketika diminta berkongsi rahsia kejayaan dalam bisnes peruncitan, Harlina berkata, faktor semangat, sokongan dan kerjasama daripada pekerja serta pihak lain amat penting dalam mengusahakan sesebuah perniagaan.

“Kita nak membina perniagaan ini kita tidak boleh buat secara solo. Asalnya pada waktu dahulu pun, ada waktu-waktu tertentu saya dibantu oleh ibu dan ayah.

“Saya ada dibantu oleh Pengurus FELDA Sg. Lui, masa pertama kali saya ingin ambil beras di Kedah. Pengurus FELDA Sg. Lui yang bantu dan teman saya”

Di samping itu, Harlina turut berkongsi kisah dan cabaran sepanjang menceburi bidang pemborongan beras sehingga kini mampu mencapai purata pendapatan menjangkaui RM1.5 juta setahun.

Ujarnya, idea tersebut datang daripada ayahnya yang mencadangkan supaya mendapatkan lesen bagi makanan utama terlebih dahulu.

“Ayah saya beritahu kalau hendak kukuhkan dan besarkan perniagaan ini, kena pegang dahulu pokok (makanan utama) penting sebagai ejen.

“Sebab itu bila saya masuk sini, saya cepat-cepat pegang (dapatkan) lesen beras borong, selepas itu lesen borong untuk barangan kawalan seperti minyak, tepung dan telur.

“Selepas ada lesen-lesen itu, saya cuma perlu cari barang sahaja untuk dijual,” ujarnya.

Selain daripada itu, Harlina berkata, FELDA banyak memberi bantuan termasuk pinjaman dana permulaan bagi membantu dalam proses perniagaannya awal penglibatan dahulu.

Dalam sambutan Hari Peneroka FELDA 2022, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri turut mengumumkan inisiatif Tabung Usahawan Belia FELDA dengan dana pusingan RM10 juta. Inisiatif ini merupakan manifestasi FELDA yang amat menggalakkan semangat keusahawanan kepada generasi baharu FELDA yang mampu memberikan janaan pendapatan kepada generasi FELDA serta secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk dan masyarakat sekitar.

“Saya sebagai anak peneroka, saya mengucapkan terima kasih kepada FELDA kerana menyediakan tanah untuk keluarga saya.

“Selepas itu, daripada rumah pemberian FELDA, saya memulakan perniagaan, berpindah di ke lokasi perniagaan sekarang pun ada sokongan FELDA dan ada juga mendapat suntikan pinjaman daripada mereka,” menurutnya.

Jelasnya, orang ramai terutamanya generasi muda perlu mempunyai keyakinan yang tinggi serta ilmu yang cukup jika ingin memulakan perniagaan.