Kekurangan bekalan ubat cetus panik

Kekurangan beberapa jenis ubat-ubatan sejak kebelakangan ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat. - Foto 123RF
Kekurangan beberapa jenis ubat-ubatan sejak kebelakangan ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kekurangan beberapa jenis ubat-ubatan sejak kebelakangan ini mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Ubat-ubatan seperti panadol dan antibiotik didapati berkurangan di farmasi ekoran permintaan tinggi untuk rawatan harian pesakit.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan permintaan tinggi terhadap ubat-ubatan disebabkan berlakunya peningkatan kes influenza bermusim pada ketika ini.

Namun, beliau memberikan jaminan stok akan mula meningkat apabila Malaysia dapat mengimport lebih banyak bahan farmaseutikal aktif bermula bulan depan.

Beliau turut menegaskan kekurangan bekalan ubat bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi turut memberikan kesan kepada bekalan di seluruh dunia.

Beberapa faktor menyumbang kepada kekurangan bekalan itu antaranya masalah rantaian bekalan dunia, lockdown di China dan geopolitik dunia.

Kerajaan juga telah membuat keputusan stok penimbal akan diberi kepada fasiliti kesihatan swasta untuk menampung kekurangan yang dihadapi.

Ia sekali gus memastikan kekurangan bekalan ubat-ubatan dapat ditampung sementara menunggu lebih banyak bekalan dapat diimport bulan depan.