Tukang kasut terhimpit kenaikan kos

Rata-rata tukang kasut di daerah ini mengakui terkesan dengan peningkatan kos ekoran kenaikan
harga barang keperluan membaiki kasut. (Gambar kecil dari kiri: Zahari, Anton, Zainudin)
Rata-rata tukang kasut di daerah ini mengakui terkesan dengan peningkatan kos ekoran kenaikan harga barang keperluan membaiki kasut. (Gambar kecil dari kiri: Zahari, Anton, Zainudin)
A
A
A

TUKANG kasut merupakan salah satu pekerjaan yang mulia biarpun mungkin dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Khidmat mereka masih diperlukan dan mempunyai peranan tersendiri dalam masyarakat.

Apa Khabar Rakyat kali ini menyelusuri kisah si tukang kasut di sekitar bandar Kuantan yang terhimpit dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nik Amirul Mu’Min Nik Min dengan tukang kasut yang berkongsi permasalahan dihadapi mereka.

Peningkatan kos susulan kenaikan harga barang keperluan membaiki kasut antara tekanan yang menghimpit tukang kasut di daerah ini termasuk mereka yang menjalankan pekerjaan itu di sekitar Jalan Besar dan Jalan Mahkota di sini.

Rata-rata mereka mengeluh dengan kenaikan itu sedangkan kadar bayaran kepada pelanggan kekal pada harga lama.

Kenaikan kos yang terpaksa ditanggung amat membebankan mereka yang bergantung hidup dengan pendapatan daripada pekerjaan itu.

Bagi Zahari Awang Amat, 73, yang menawarkan perkhidmatan membaiki kasut di kaki lima bangunan kedai di Jalan Besar di sini berkata, kenaikan harga barang keperluan membaiki kasut amat ketara kebelakangan ini.

Menurutnya, antara barang yang mengalami kenaikan harga termasuk tapak, getah pelapik tapak kasut, gam dan benang.

Menurutnya, kenaikan harga barangan itu antara RM5 hingga RM15 ringgit terlalu tinggi berbanding bayaran yang dikenakan kepada pelanggan.

“Kami tiada pilihan lain, apatah lagi hanya terdapat satu pembekal barangan itu di daerah ini.

“Barangan itu sebenarnya boleh diperoleh dari pembekal luar misalnya di Kuala Lumpur dengan harga lebih murah, namun kos lain pula yang terpaksa ditanggung,” katanya.

Zahari yang sudah lebih tujuh tahun menawarkan perkhidmatan itu berkata, sekiranya keadaan itu berterusan, ia menjadi masalah kepada tukang kasut sepertinya untuk meneruskan kelangsungan pekerjaan itu.

“Tukang kasut di kaki lima ini mungkin dipandang rendah bagi sesetengah pihak walaupun khidmat ini sebenarnya banyak membantu orang ramai terutama dalam menghadapi kenaikan kos hidup ketika ini.

“Tidak semua orang mampu beli kasut baharu dalam situasi ketika ini dan pilihan yang mereka ada hanya membaikinya jika rosak.

Tukang kasut di Kuantan, Pahang masih mengekalkan harga lama kepada pelanggan walaupun kos makin meningkat.
Tukang kasut di Kuantan, Pahang masih mengekalkan harga lama kepada pelanggan walaupun kos makin meningkat.

“Kalau tiada tukang kasut, mungkin timbul juga masalah kepada mereka sebab itu kami terus bertahan walaupun dalam keadaan agak sukar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Anton Sidek, 60, kebanyakan tukang kasut masih mengekalkan harga lama antara RM3 hingga RM20 bergantung kepada jenis dan keadaan kasut yang dibaiki.

“Kalau tukar tapak dan jahit keliling, bayarannya mungkin lebih tinggi. Bila letak harga tinggi, pelanggan pula mengeluh.

“Bukan kita tidak boleh menaikkan harga, namun ia sudah pasti membebankan pelanggan dan kami juga akan terkesan bila mereka tidak jadi untuk membaiki kasut yang rosak.

“Sekarang semua orang berkira dalam berbelanja, begitu juga dengan kami,” katanya.

Anton berkata, selagi mampu bertahan, mereka akan meneruskan pekerjaan itu walaupun hakikatnya pendapatan yang diperoleh berkurangan.

Pandangan sama dilontarkan Zainudin Rasyid, 64, yang menjalankan perkhidmatan membaiki kasut di tapak yang disediakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di lorong antara Jalan Besar dan Jalan Mahkota.

Menurutnya, nasib mereka lebih baik ketika ini jika dibandingkan dua tahun lalu.

Katanya, pelanggan ada, namun jika dibandingkan sebelum pandemik, bilangan pelanggan semakin berkurangan ketika ini.

“Pelanggan yang datang pun sukar dijangka, ada hari ramai dan ada hari kurang pelanggan.

“Itu belum ambil kira kerugian yang terpaksa ditanggung bila pelanggan tidak menuntut kembali kasut siap dibaiki,” katanya.

Nasib si tukang kasut perlu diberi perhatian

Sementara itu, di Kuantan, seotrang tukang kasut, Abdul Rahman Md Nor, 71, berkata, sedar atau tidak, tukang kasut sepertinya ada peranan dalam membantu mengurangkan beban ditanggung orang ramai ketika berdepan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Justeru, katanya, nasib si tukang kasut perlu diberi perhatian pihak kerajaan melalui bantuan sewajarnya bagi memastikan nasib golongan itu terbela dan dapat terus memberi khidmat kepada orang ramai.

“Bila kasut mereka rosak kamilah yang dicari untuk membaikinya,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan atau agensi terlibat memberi perhatian dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan tersebut.

“Sebenarnya tukang kasut di kaki lima ini ada keunikan tersendiri dan boleh dipromosikan sebagai satu aset tarikan.

“Misalnya wujudkan satu tempat khusus untuk kumpul dan tempatkan tukang-tukang kasut ini.

“Secara tidak langsung dengan adanya tempat lebih selesa dan tersusun, ia mampu merancakkan aktiviti itu selain menjadi satu lokasi tarikan di sini,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sebenarnya telah menyediakan tapak untuk mereka di kaki lima bangunan kedai berhampiran Kuantan Art Street di sini, namun ia mungkin boleh ditambah baik atau dinaik taraf sesuai dengan imej bandar Kuantan sebagai sebuah bandar raya.