Birmingham 2022: Sasaran baharu enam emas

Ismail Sabri berbual dengan Ahmad Faizal ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Facebook KBS Malaysia
Ismail Sabri berbual dengan Ahmad Faizal ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Facebook KBS Malaysia
A
A
A

ENAM pingat emas ditetapkan sebagai sasaran baharu kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, enam emas itu disandarkan masing-masing menerusi sukan terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.

Menurutnya, terjun dimasukkan dalam senarai penyumbang emas berdasarkan pencapaian skuad terjun negara yang membawa pulang dua gangsa pada Kejohanan Dunia baru-baru ini.

“Pada mulanya, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) umumkan sasaran tujuh pingat emas setelah adakan perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Namun, sasaran tujuh pingat emas itu perlu dikaji semula selepas penarikan diri pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia daripada menyertai Sukan Komanwel kali ini.

“Selain itu, kemalangan yang menimpa pemain skuasy negara, S Sivasangari juga menyebabkan sasaran pingat emas dalam acara beregu wanita terpaksa dikaji semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Sebelum ini, MOM mengumumkan sasaran tujuh pingat emas ditetapkan kepada kontinjen Malaysia ke Birmingham bagi menyamai pencapaian pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya percaya sasaran itu mampu dicapai selain tidak menolak kemungkinan atlet negara berupaya mencipta kejutan meraih lebih daripada jumlah ditetapkan.

“Kita perlu realisitik, jadi kita sasar enam (emas). Tetapi kita akan terus berusaha dapatkan lebih lagi, itu akan jadi bonus,” jelasnya.

Pada masa sama, Shahrul Zaman berkata, barisan atlet negara berada dalam keadaan baik ketika ini dan bersedia untuk mengharungi cabaran di bumi Birmingham nanti.

“Saya berpesan kepada semua atlet supaya jaga dari masing-masing. Insya-ALLAH, jika tidak ada kecederaan, kita mampu capai sasaran ditetapkan,” ujarnya.