Lombong haram: Kerajaan negeri digesa ambil tindakan undang-undang

Abdul Aziz (duduk, tengah) ketika sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Selasa.
Abdul Aziz (duduk, tengah) ketika sidang akhbar bersama ADUN-ADUN pembangkang di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak digesa mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat perlombongan yang beroperasi di daerah Hulu Perak tanpa kebenaran sebelum prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mineral bagi unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) diluluskan.

Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihak kerajaan negeri sudah mengesahkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa syarikat operator berkenaan tidak mendapat kelulusan bagi operasi perlombongan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pendedahan tersebut membuktikan bahawa pengoperasian itu merupakan satu tindakan pelanggaran undang-undang.

"Aktiviti itu telah bermula sebelum kelulusan diberi, jadi secara rasmi kerajaan tak beri lampu hijau. Oleh itu kita mendesak kerajaan bertindak bagi menunjukkan ketegasan terhadap isu tersebut.

"Kita tidak terlibat dan tidak merasakan ada minat pun untuk buat aktiviti-aktiviti yang berlaku sekarang ini. Jadi jangan kaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan segala benda ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Selasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin berkata, selama ini kerajaan negeri memaklumkan kerja-kerja yang dilakukan di kawasan tersebut hanyalah eksplorasi bukannya perlombongan.

Menurutnya, bagaimanapun apabila Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan tiada kebenaran diberikan kepada syarikat berkenaan menunjukkan tindakan tersebut merupakan satu kesalahan.

"Kita nak tanya kerajaan selepas dua tahun ini apakah tindakan kerajaan, adakah pihak yang membuat lombong ini didakwa atau mereka akan dipenjarakan?

"Adakah tindakan masih diambil? Mereka sudah lakukan kesalahan jenayah," katanya yang turut sama di dalam sidang akhbar tersebut.

Saarani ketika sesi Soalan Lisan di DUN Perak pada Selasa memaklumkan usaha melombong nadir bumi lantanid di daerah Hulu Perak yang mendapat bantahan pelbagai pihak bukanlah isu yang baharu sebaliknya didakwa bermula sejak zaman PH mentadbir Perak.