Dua tekong, 25 PATI warga Myanmar ditahan

Seorang tekong ditahan bersama PATI ketika cuba masuk ke Malaysia dengan menaiki kenderaan jenis Nissan Urvan di di simpang tiga Kampung Lubuk Sengkuang, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, pada pagi Isnin.
Seorang tekong ditahan bersama PATI ketika cuba masuk ke Malaysia dengan menaiki kenderaan jenis Nissan Urvan di di simpang tiga Kampung Lubuk Sengkuang, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, pada pagi Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR – Dua lelaki warganegara Myanmar dipercayai tekong dan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan polis di simpang tiga Kampung Lubuk Sengkuang, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kubang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mereka ditahan selepas anggota polis mengesan dua kenderaan jenis Nissan Urvan dan Proton Saga dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas Ops Benteng Covid-19 lebih kurang jam 5.50 pagi dan 6.58 pagi.

Menurutnya, anggota polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam kemudian menahan kedua-dua kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan mendapati kesemua 27 individu dalam kenderaan terdiri daripada dua lelaki disyaki sebagai tekong, 18 lelaki dan tujuh perempuan merupakan warganegara Myanmar berusia antara 19 tahun hingga 43 tahun.

“Kedua-dua tekong itu warganegara Myanmar berumur 35 tahun dan 43 tahun dengan seorang daripada mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rodzi memberitahu, kesemua suspek dipercayai masuk ke Malaysia dari Danok Thailand melalui pagar sempadan Pos 1 dan Pos 2 kawalan tentera di laluan paip gas sebuah syarikat minyak dan gas, Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tahanan reman dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pihak juga menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyeludupan PATI di sekitar daerah Kubang Pasu boleh menyalurkan maklumat di talian Hotline IPD Kubang Pasu 04-9172222.