Awie sanggup ambil risiko sertai kempen Anti-Scam

Awie (kiri) menyertai kempen Anti-Scam JSJK (Awie Ride 2022) yang fasa pertama bermula Selasa.
Awie (kiri) menyertai kempen Anti-Scam JSJK (Awie Ride 2022) yang fasa pertama bermula Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon dan penyanyi, Datuk Ahmad Azhar Osman atau lebih dikenali sebagai Awie sanggup mengambil risiko dengan terlibat dalam kempen Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Awie Ride 2022).

Awie berkata, penglibatan dalam kempen tersebut dianggap sangat bahaya, namun dia sanggup berhadapan risiko demi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu sindiket penipuan.

"Saya berharap tiada perkara yang tidak diingini berlaku kerana sebelum ini saya pernah diugut setelah terlibat dalam jelajah kempen Anti-Cetak Rompak," katanya ketika ditemui di Flag Off Kempen Anti-Scam PDRM 2022 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Awie berkata, seramai 35 penunggang motosikal berkuasa tinggi terlibat dalam kempen Anti-Scam JSJK (Awie Ride 2022).

"Jelajah fasa pertama adalah di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pada Selasa hingga Jumaat manakala fasa kedua bermula pada 25 Julai hingga 28 Julai pula di Kelantan, Terengganu dan Pahang; fasa ketiga di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada 1 Ogos dan 2 Ogos," katanya.

Awie berkata, kempen tersebut adalah memberi penerangan kepada masyarakat berkaitan sindiket penipuan.

"Peserta konvoi akan berhenti di beberapa perhentian di setiap negeri untuk program pencegahan jenayah komersial termasuk kesedaran mencegah sindiket penipuan," katanya.

Awie berkata, pengalaman bergaduh dengan 'scammer' yang cuba menipu menerusi panggilan telefon telah menjadi pencetus jelajah kempen tersebut.

"Kempen jelajah ini yang mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman masyarakat khususnya di kawasan luar bandar tentang risiko ditipu oleh 'scammer'," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat dalam ucapannya berkata, sebanyak empat mesej utama akan disampaikan dalam kempen Anti Scam itu.

"Antara mesej itu adalah, pencegahan jenayah tanggungjawab bersama, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran berkaitan modus operandi 'scammer' dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Semua warga Malaysia adalah duta antiscam dan mesej terakhir adalah orang ramai jangan melibatkan diri dalam jenayah penipuan dan keldai akaun," tegasnya.