Permintaan tinggi ubat disebabkan peningkatan influenza

Khairy ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Khairy ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permintaan tinggi ubat-ubatan disebabkan berlakunya peningkatan kes influenza bermusim yang sedang berlangsung pada waktu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah menerima jaminan daripada pengeluar ubat-ubatan bahawa stok ini akan mula meningkat apabila negara ini dapat mengimport lebih banyak bahan farmaseutikal aktif bermula bulan hadapan.

“Jadi dalam masa yang kita menunggu sehingga bekalan ini dapat ditingkatkan, kita akan dahulukan stok penimbal kerajaan persekutuan supaya ubat-ubatan yang agak kekurangan ini dapat ditampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri.

Guan Eng terdahulu bertanyakan mengenai kedudukan bekalan ubat-ubatan kerana berlakunya banyak aduan dalam negara yang mengadu mengenai kekurangannya.

Khairy berkata, dunia juga sedang mengalami masalah kekurangan ubat-ubatan dan negara ini juga tidak terkecuali.

Katanya, pengurangan ini disebabkan masalah rantaian bekalan dunia, 'lockdown' di China dan geopolitik dunia.

Dalam masa sama, Khairy memaklumkan beliau telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan ubat-ubatan, persatuan farmasi, pengeluar ubat-ubatan dan farmaseutikal pada Khamis lalu.

“Oleh yang demikian, saya telah membuat keputusan bahawa stok penimbal kerajaan akan diberi kepada fasiliti kesihatan swasta untuk menampung kekurangan yang dihadapi sekarang ini,” katanya.