Empat lelaki ditahan bantu kes keldai akaun

Empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes keldai akaun pada Isnin.
Empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes keldai akaun pada Isnin.
A
A
A

BALIK PULAU - Empat lelaki ditahan selepas disyaki dijadikan keldai akaun oleh sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian, pelaburan tidak wujud dan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun itu ditahan di negeri ini dan Perak pada Isnin.

Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Barat Daya.

"Dua tangkapan dibuat di Perak iaitu Taiping dan Bagan Serai, manakala dua lagi di Batu Maung dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Mereka dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian, pelaburan tidak wujud dan Macau Scam," katanya dalam satu kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Isnin.

Kamarul Rizal berkata, siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa adalah antara RM13,000 hingga RM400,000.

"Semua tangkapan dilakukan melibatkan kes yang dilaporkan pada tahun 2019 hingga 2022. Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara (sambilan), Macau Scam dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di Aplikasi Google Play Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.